Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
“Perbuatan halal yang sangat dibenci oleh Allah ialah talak (perceraian).”
Perceraian dibenarkan dalam Islam atas sebab-sebab tertentu seperti suami isteri sudah tidak lagi bahagia hidup bersama disebabkan masalah komunikasi, penderaan fizikal atau emosi, masalah seksual atau tidak memahami peranan dan tanggungjawab masing-masing dalam berumahtangga sehingga menimbulkan pertelingkahan.
Islam menetapkan sekiranya memilih untuk bercerai, ia perlulah dilakukan dengan tertib dan beradab. Ini sesuai dengan firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 229 yang bermaksud:
“Talak (yang dapat dirujuk dua kali). Setelah itu boleh rujuk lagi dengan cara yang makruf atau menceraikan dengan cara yang baik.”
Namun begitu, tidak ramai yang berbuat demikian. Kebanyakannya sanggup membuka pekung di dada, menceritakan keburukan pasangan hatta apa yang berlaku di dalam selimut pun sanggup diceritakan tanpa segan silu.
Malah yang lebih menyedihkan ialah apabila berlaku perceraian hak penjagaan anak seringkali menjadi rebutan dan nafkah anak tidak ditunaikan. Oleh sebab itu, bagi menjaga kebajikan dan kelangsungan hidup anak agar dapat terus hidup dengan tenang dan gembira, penting bagi pasangan mengetahui tentang hadhanah (hak jagaan anak).
HADHANAH bermaksud pemeliharaan anak lelaki atau perempuan yang masih kecil yang belum boleh berdikari, menjaga kepentingan anak, melindunginya dari segala yang membahayakan dirinya, mendidik rohani dan jasmani serta akalnya supaya si anak dapat berkembang dan dapat mengatasi persoalan hidup yang akan dihadapinya.
Dalam Islam, tanggungjawab memelihara anak terletak dibahu ibu bapa. Apabila berlaku perceraian, timbul persoalan siapakah yang akan memikul tanggungjawab tersebut.
Menurut sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar:
“Bahawasanya seseorang perempuan telah datang menemui Rasulullah saw dan bertanya: ´Ya Rasulullah, bahawa anakku ini, perutkulah kandungannya, susukulah minumannya dan ribaanku rumahnya tetapi bapanya telah menceraikan aku dan hendak merampas anak itu daripada aku´.
Selepas mendengar aduan itu Rasulullah saw bersabda:
“Engkaulah yang lebih berhak menjaga anak itu selagi engkau belum berkahwin lain.” (Riwayat Abu Daud)
Berdasarkan hadis ini jelas menetapkan bahawa anak pasangan yang bercerai lebih berhak berada di bawah jagaan ibunya berbanding ayahnya.
Pertimbangannya adalah kerana tugas mendidik anak sesuai dengan sifat lahiriah ibu yang lebih penyayang, lebih tahu dan sabar mendidik dan mengasuh anaknya.
Menurut Seksyen 82 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor (EUKIS) 2003, IBU adalah yang paling berhak berbanding segala orang bagi menjaga anak kecilnya dalam masa ibu itu masih dalam perkahwinan dan juga selepas perkahwinannya dibubarkan.
Namun begitu hak hadhanah yang diberikan kepada ibu BOLEH TERLUCUT sekiranya si ibu tidak memenuhi salah satu syarat sepertimana berikut dan syarat-syarat hadhanah itu tujuh perkara iaitu :
a) berakal
b) Merdeka
c) Beragama
d) Lemah Lembut
e) Amanah
f) Tidak Bersuami
g) Bermukim
Sekiranya kurang salah satu syarat itu maka gugurlah hak hadhanah itu.
Peruntukan Seksyen 83 EUKIS juga sejajar dengan maksud hadis di atas yang menyatakan bahawa seorang ibu itu akan hilang kelayakan menjaga anaknya jika dia berkahwin dengan seseorang yang tidak mempunyai pertalian darah dengan kanak-kanak yang dijaga, ibu itu berkelakuan buruk yang keterlaluan dan terbuka, ibu itu sering bertukar tempat tinggal (tempat bermastautin) bagi menghalang bapa kanak-kanak tersebut menjalankan pengawasan yang perlu ke atas kanak-kanak itu, ibu itu murtad dan ibu itu didapati cuai dan menganiayai kanak-kanak tersebut.
Walaupun demikian, perlu dijelaskan bahawa walaupun ibu telah berkahwin dengan seseorang yang tidak mempunyai pertalian darah dengan kanak-kanak yang dijaga, itu tidak bermakna hak jagaan anak akan berpindah kepada bapa kandung dengan mudah. Bekas suami perlu membuktikan bahawa perkahwinan semula bekas isterinya itu akan mengganggu anak mereka. Jika bekas suami ingin menggunakan mana-mana alasan di atas, mereka perlu mengemukakan bukti yang kukuh untuk dibawa ke mahkamah.
Apabila ibu hilang kelayakan menjaga maka hak jagaan anak itu berpindah kepada waris terdekat iaitu:
a) nenek sebelah ibu hingga ke atas peringkatnya
b) bapa
c) nenek sebelah bapa hingga ke atas peringkatnya
d) kakak atau adik perempuan seibu sebapa
e) kakak atau adik perempuan seibu
f) kakak atau adik perempuan sebapa
g) anak perempuan dari kakak atau adik perempuan seibu sebapa
h) anak perempuan dari kakak atau adik perempuan seibu
i) anak perempuan dari kakak atau adik perempuan sebapa
j) ibu saudara sebelah ibu
k) ibu saudara sebelah bapa
l) waris lelaki yang boleh menjadi warisnya sebagai ´asabah atau residuari´
BERAPAKAH HAD UMUR ANAK YANG BOLEH DIJAGA OLEH IBU?
Menurut hujah kitab Kifayah al-Akhyar, Juz 2, halaman 93:
“Apabila mencerai seseorang lelaki akan isterinya dan ia mempunyai anak dengan isteri itu maka si isteri berhak memelihara anak itu sehingga anak itu berumur tujuh tahun (mumaiyiz).”
Fuqaha berselisih pendapat mengenai had umur mumaiyiz ini. Namun begitu, menurut kebiasaan, anak lelaki dianggap telah mumaiyiz apabila berumur tujuh tahun dan anak perempuan pula berumur sembilan tahun.
Selepas itu anak diberi pilihan untuk memilih untuk tinggal bersama ibu atau bapa berdasarkan sebuah hadis yang bermaksud:
“Bahawa Rasulullah s.a.w telah menyuruh seorang anak yang telah mumaiyiz supaya memilih sama ada ibu atau bapa yang dia suka tinggal.”
Menurut Seksyen 84 (1) Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan, dianggap belum mumaiyiz bagi kanak-kanak lelaki ialah dari bayi hingga berumur enam tahun. Manakala kanak-kanak perempuan pula dari bayi hingga berumur lapan tahun.
Ini bermakna kanak-kanak lelaki yang telah berumur tujuh tahun dan kanak-kanak perempuan yang telah mencapai umur sembilan tahun dianggap mumaiyiz.
Walau bagaimanapun dalam Seksyen 84 (2) keputusan yang dibuat oleh anak tidak mutlak kerana Mahkamah boleh memerintahkan keputusan yang berlawanan dengan pilihan anak.
Walaupun berlaku perceraian, hubungan di antara anak dengan ibu dan bapanya tidak terputus. Hubungan itu kekal sebagaimana kekalnya tanggungjawab bapa memberi nafkah kepada anaknya walaupun bapa tidak mendapat hak penjagaan anak tersebut. Ini termaktub dalam Seksyen 72 EUKIS.
Nafkah termasuklah menyediakan :
a) Tempat Tinggal
b) Pakaian
c) Makanan
d) Perubatan
e) Pelajaran
f) Apa-apa Keperluan Anak Tersebut.
Soal nafkah turut dijelaskan dalam surah al-Baqarah ayat 233 di mana Allah berfirman yang bermaksud:
“Para ibu hendaklah menyusukan anak-anaknya selama dua tahun penuh, iaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan. Dan kewajiban ayah memberi makan dan pakaian kepada para ibu dengan cara yang makruf. Seseorang tidak dibebani melainkan menurut kadar kesanggupannya. Janganlah seorang ibu menderita kesengsaraan karena anaknya dan juga seorang ayah karena anaknya, dan waris pun berkewajiban demikian…”
Perebutan untuk mendapatkan hak penjagaan ke atas anak bagi pasangan yang bercerai tidak akan berlaku sekiranya mereka faham akan hak dan tanggungjawab masing-masing.
Adalah baik sekiranya hak penjagaan anak dan nafkah mereka diselesaikan dengan cara yang tenang dan jelas sebelum perceraian difailkan di mahkamah.
Sekiranya ditakdirkan jodoh tidak panjang, mungkin ada hikmah disebaliknya. Janganlah rasa dendam dan marah pada pasangan dilepaskan pada anak yang tidak mengerti apa yang berlaku. Hak penjagaan anak perlulah diterima dengan rasa penuh tanggungjawab dan amanah untuk dilaksanakan.
Kebanyakan pasangan merasakan mereka perlu bersaing untuk mendapatkan hak penjagaan anak. Apabila hak tersebut diberikan, mereka menganggap ia satu kemenangan dan yang kalah tidak berpuas hati. Eloklah direnungkan pandangan Syed Sabiq dalam kitabnya Fiqh as-Sunnah Juz 8 halaman 219:
”Sesungguhnya setiap penjaga dan anak jagaan masing-masing mempunyai hak. Akan tetapi hak anak atau kemaslahatan anak lebih penting daripada hak penjaganya.”
to be continued.....arjuna kayangan layangan =))
No comments:
Post a Comment