Saturday, December 4, 2010

Interview Bersama Adun Kota Damansara YB Mohd Nasir Hashim...=))

PROFIL
Nama : Dr. Mohd Nasir Hashim
Asal :Masjid Tanah, Melaka
Umur : 64 tahun
Tarikh Lahir : 31 Oktober 1946

PENDIDIKAN
• Sekolah kebangsaan Tunku Abdul Rahman, Gemas
• Maktab Tentera Diraja
• Cornell University New York

JAWATAN DALAM PARTI
• Presiden Parti Sosialis Malaysia
• Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Damansara (Mac 2008)

“Saya mahu rakyat berdikari dan tidak mahu mereka bergantung sepenuhnya kepada pucuk pimpinan. Keadaan sebegini merupakan masalah khusus masyarakat melayu dan ianya boleh merosakkan masyarakat,”

Sejak Mac 2008, agenda memperkasakan rakyat supaya mereka turut sama dalam setiap pembangunan dan memperjuangkan semua hak-hak mereka termasuk dalam fokus utama Adun Kota Damansara, YB Mohd Nasir Hashim.

Dun Kota Damansara yang terletak dalam Parlimen Subang merupakan kawasan yang baru dibangunkan 10 tahun dahulu. Majoriti penduduk hampir 51 peratus berbangsa melayu, cina 35 peratus, india 10 peratus dan lain-lain sebanyak 4 peratus.

Kota Damansara mempunyai dua kampung asal iaitu Kampung Melayu Subang, dan Kampung Selamat. Kampung Melayu Subang Tambahan, Kampung Baru Cina Kampung Baru Sungai Buloh dan Kampung Baru Pekan Subang merupakan kawasan penempatan penduduk baru dibuka. Terdapat juga dua ladang estet iaitu Rubber Research Institute (RRI) dan Ladang Subang.

Kegiatan ekonomi penduduk lebih tertumpu kepada sektor awam dan swasta selain terdapat peniaga-peniaga kecil dan penduduk yang terlibat dengan pertanian.

Dalam menggalakkan penduduk berusaha untuk aktiviti kemasyarakatan, bantuan permulaan sesuatu program diberikan sebagai pemangkin dan pemantauan selanjutnya dilakukan supaya program yang ingin dianjurkan berjaya dilaksanakan.

“Orang miskin merupakan satu aset dan bukannya libiliti. Mereka perlu turut serta dalam setiap pembangunan dan bukannya dipinggirkan. Jika mereka dianggap libiliti, maka bantuan kepada mereka atas dasar belas kasihan semata-mata,” katanya.

Setiap kawasan penduduk mempunyai persatuan dan ahli jawatankuasa penduduk masing-masing. Friends Of Kota Damansara perupakan persatuan yang aktif dalam program perhutanan dan Kelab Bola Sepak Kota Damansara pula dalam bidang sukan.

Walaupun penerimaan rakyat pada peringkat awal agak kekok kerana masih belum mengenali namun segalanya beransur baik ditambah pendekatan santai yang sering digunakan dalam mendekati mereka.

Strategi ‘berpecah’ yang diamalkan juga membuahkan hasil kerana tiga orang pembantu turut sama turun padang dalam mengumpukan semua masalah rakyat dan mesyuarat mingguan dibuat untuk mencari jalan penyelesaian.

Program pendidikan seperti kelas tambahan, kem kepada pelajar sering dianjurkan dalam menunpukan kepada aspek pendidikan dan pembentukan sahsiah pelajar.
Rumah ibadat juga digunakan dengan baik melalui penganjuran program keagamaan mengikut kepercayaan masing-masing.

MASALAH PENDUDUK KOTA DAMANSARA

Kadar jenayah yang tinggi membelenggu kawasan Kota Damansara. Alasan kekurangan anggota polis untuk mengawal sering diberikan selain tindakan lembab pihak berkuasa dalam menyelesaikan masalah jenayah. Tempat baru dan terdapat kumpulan-kumpulan samseng yang mengawal kawasan juga sering dijadikan alasan seolah-olah memandang remeh isu keselamatan penduduk Kota Damansara.

“Kami sedih bila masalah sebegini begitu susah mencari polis, tapi yang peliknya bila berdemo ramai pula yang hadir,” tegasnya.

Beberapa cadangan sudah diusulkan termasuk menubuhkan pasukan polis bergerak namun tiada tindakan susulan. Terbaru kejadian rogol yang berlaku di Kampung Melayu Subang yang sudah pastinya mengundang kebimbangan penduduk.

“Kami mencadangkan untuk bermesyuarat dengan seluruh persatuan di Dun Kota Damansara bagi mencari jalan penyelesaian untuk mengurangkan kadar jenayah,” katanya.
Kota Damansara sering berhadapan dengan masalah banjir yang ternyata membimbangkan penduduk. Masalah ini berpunca daripada pembuangan sisa kilang yang tidak sistematik sehingga masuk ke saluran perparitan penduduk selain keadaan sungai yang tidak bersih dan diselenggara dengan baik.

Kejadian banjir kerap berlaku di kawasan Sungai Buloh berpunca daripada kilang-kilang haram selain daripada projek-projek pembinaan yang membuang sisa buangan secara tidak sistematik. Namun apa yang dikesalkan, Jabatan Perparitan Saliran bertindak mendalamkan dan membersihkan sungai setelah bencana banjir berlaku.

Namun masalah banjir yang sekian lama dihadapi penduduk Kampung Melayu Subang berjaya diselesaikan melalui peruntukan Dun yang diberikan serta kerjasama dengan Jabatan Perparitan Saliran Negeri Selangor.

Pembinaan kilang haram banyak tertumpu di kawasan Sungai Buloh. Sikap ketegasan politik diperlukan bagi memastikan kilang haram ini dapat dipantau. Dari segi usaha pemutihan, kerajaan negeri memberikan tempoh kepada pengusaha kilang untuk mendaftar selain mengadakan dialog perbincangan termasuk bersama Exco Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram, YB Ean Yong Hien Wah. Namun begitu usaha yang dilakukan masih belum berhasil dengan lancar.

“Kita buka jalan untuk mereka memohon dan melakukan bayaran premium. Kerajaan negeri masih memberikan peluang untuk mereka meneruskan perniagaan secara sah disamping membayar premium mengikut pakej yang ditetapkan,” katanya.

Dalam isu pemilikan tanah juga berlaku kelewatan terutamanya dalam proses pemilikan geran tanah dan isu pemilikan lesen pendudukan sementara (Tol). Isu tanah Kampung Melayu Subang tambahan berjaya diselesaikan dan penduduk hanya menanti geran tetap menduduki.

Kebanyakan kemudahan asas dari agensi kerajaan yang bertanggungjawab untuk kawasan Kota Damansara banyak bergantung kepada kawasan Sungai Buloh. Lebih mengecewakan adalah ketiadaan hospital di kawasan Kota Damansara ternyata menyusahkan penduduk. Sebarang masalah kesihatan perlu dirujuk ke Hospital Sungai Buloh selain bergantung kepada klinik kecil yang berada di Dataran Sunway.

Selain itu, ketiadaan balai bomba juga merupakan antara masalah kepada penduduk Kota Damansara. Tapak projek pembinaan Carrefour merupakan tapak asal untuk pembinaan balai bomba Kota Damansara. Namun, setelah projek tersebut gagal maka hanya dibiarkan terbengkalai begitu sahaja.


Masalah menyiapkan projek jalan meghala ke Sungai Buloh yang telah tertangguh sekian lama akhirnya berjaya diselesaikan dan melegakan penduduk.
Namun masalah kesesakan masih berlaku di kawasan Kota Damansara. Semuanya berpunca daripanda tindakan Jabatan Kerja Raya Negeri Selangor dan persekutuan yang sering memandang remeh dan sikap lepas tangan walaupun aduan telah dilakukan oleh penduduk. Ada kalanya lampu isyarat tidak berfungsi dengan baik dan menyukarkan pergerakan penduduk.

Tindakan lambat yang diambil serta unsur sabotaj dalam penyelenggaraaan jalan oleh Jabatan Kerja Raya susulan aduan kerosakan lampu isyarat yang dilaporkan boleh membahayakan pengguna ditambah kesesakkan yang dihadapi pengguna setiap hari.


Perkara yang menecewakan adalah masalah bantahan penduduk mengenai isu pembinaan Carrefour tidak berjaya diselesaikan kerana masalah urusan pemilikan tanah dan akhirnya projek tersebut gagal. Tapak Carrefour pada asalnya merupakan tapak pembinaan balai bomba. Bantahan dilakukan kerana pusat membeli belah Giant terletak berdekatan dengan penduduk Kota Damansara.

Sikap syarikat pengangkutan yang hanya memimkirkan keuntungan mengundang masalah kepada penduduk kota damansara untuk bergerak. tindakan sebegini menyukarkan penduduk mendapatkan bas dan melambatkan urusan seharian.

Perkhidamatan LRT juga tidak disediakan dan usaha untuk menambah laluan masih dalam perbincangan dan belum diputuskan. Cadangan kawasan untuk dijadikan hentian adalah kawasan Seksyen 6 dan Kolej Segi.

Pelbagai usaha dilakukan untuk menarik golongan belia melalui aktiviti sukan seperti bola sepak dan futsal. Selain daripada kerjasama institusi masjid dan beberapa persatuan NGO sesi kaunseling turut dicadangkan sebagai program belia yang bakal dianjurkan pada tahun hadapan.

Melalui program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES), pihak pejabat Adun Kota Damansara dan bantuan persatuan penduduk dan NGO mengumpulkan nama-nama dan mendaftar warga usia emas dan ibu tunggal supaya layak mendapat bantuan. Kerjasama dengan Kementerian Kesihatan turut dilakukan dalam memantau kesihatan penduduk. Pemeriksaan kesihatan dan terbaru program pemeriksaan payudara secara percuma dianjurkan untuk penduduk Kota Damansara.

PERANCANGAN 2011

Untuk tahun 2011, peruntukan yang diberikan lebih menumpukan kepada aspek pembangunan modal insan, membuka ruang pekerjaan kepada mereka yang memerlukan selain meningkatkan ekonomi penduduk setempat. Program pengukuhan minda akan diperbanyakkan selain dariapada program memperkasakan rakyat.

Kawasan Lembah Subang dan Kota Damansara akan diberikan penumpuan yang lebih kerana di sini penduduk setinggan yang terpinggir dipindahkan. Mereka tertinggal dalam banyak perkara. Banyak bantuan yang sepatutnya diperolehi tidak disalurkan dengan sepatutnya selain masalah bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Lembaga Zakat.

Kampung Baru Cina juga termasuk dalam agenda tahun 2011 termasuk usaha pemutihan kilang-kilang haram dan diharapkan dapat diselesaikan secepat mungkin.

Disamping membantu golongan miskin, perhatian terhadap golongan belia dan menarik minat lebih banyak NGO akan dipergiatkan dan termasuk dalam agenda kemasyarakatan Kota Damansara.

Program bantuan untuk orang miskin, program menjahit untuk golongan ibu tunggal dan golongan belia masih diteruskan. Aktiviti berbentuk kemahiran akan diperbanyakkan dalam memberikan peluang pekerjaan kepada golongan belia, sesi kaunseling dan motivasi untuk anak-anak dan mereka yang menghadapi masalah serta program gotong-royong.

HARAPAN YB NASIR

“Saya mahu Kota Damansara menjadi suatu keluarga yang besar dimana kaum dan agama itu tidak menjadi isu supaya kita boleh saling bekerjasama, hormat menghormati, turut serda dalam pembangunan, bersuara bila ada sesuatu masalah dan bekerja sebagai suatu pasukan demi kepentingan Kota Damansara,” katanya.

to be continued.....arjuna kayangan layangan =))

No comments: